22 Julai 2023 | Sabtu
Malaysia telah diwakili oleh Sekolah Seri Puteri (SSP), Cyberjaya, Selangor selaku ahli UNESCO Associated Schools Network (ASPnet) dan Kelab UNESCO serta Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bagi menyertai Persidangan Second International UNESCO Model dengan tema Warisan Dunia (World Heritage) anjuran Kazakhstan National Federation of Clubs for UNESCO pada 22 Julai 2023 bertempat di Almaty, Kazakhstan. Dua orang pelajar menengah atas SSP iaitu Tengku Puteri An-Nur Ateliea Intan Thuraya binti Tengku Hishammuddin dan Puteri Elisa Mysara binti Husni serta Alina Pannirselvam dari UMT telah terpilih untuk menyertai peringkat akhir persidangan tersebut. Pasukan SSP telah berjaya mendapat pengiktirafan persembahan terbaik melalui pembentangan mengenai tapak warisan dunia baharu UNESCO di Argentina iaitu Kota Ushuaia, manakala, UMT telah berjaya mendapat pengiktirafan pembentang terbaik melalui pembentangan Maliau Basin Conservation Area, Sabah.
Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia telah memainkan peranan dalam menyelaras penyertaan SSP bersama pihak sekolah, Kementerian Pengajian Tinggi dan penganjur bagi persidangan tersebut.
Persidangan ini diadakan untuk memberikan pendedahan berkenaan peranan remaja dan belia dalam memelihara dan memulihara kepentingan tapak warisan dunia UNESCO menerusi simulasi Mesyuarat UNESCO World Heritage Committee. Setiap pasukan telah ditugaskan untuk mewakili sebuah negara dan mengenal pasti tapak-tapak warisan dunia yang berpotensi untuk diiktiraf sebagai salah satu tapak warisan dunia UNESCO.
Seramai 34 orang peserta daripada 20 buah negara telah disenarai pendek ke peringkat akhir Pembentangan Cadangan Tapak Warisan Dunia di Kazakhstan.
#7TerasKPM
#MalaysiaMADANI
#KaramahInsaniah